Pages

Friday, May 8, 2009

Insiden memalukan seluruh rakyat

Insiden memalukan seluruh rakyat

IPOH 7 Mei - Memalukan!
Itu yang dapat diluahkan oleh sebahagian rakyat negeri ini apabila menyaksikan perbuatan 'samseng' Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang yang menimbulkan kekecohan semasa berlangsungnya sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Seorang peniaga, Ang Kuang Ngiap, 59, berkata, budaya samseng yang diamalkan oleh ADUN pembangkang amat memalukan dan ia langsung tidak membawa kebaikan kepada rakyat di negeri ini.
''Adegan bergaduh, bertikam lidah dan tidak menghormati kemuliaan dewan sepatutnya tidak berlaku kerana sikap samseng ini tidak elok dilihat oleh rakyat apatah lagi masyarakat luar.
''Kalaupun tidak berpuas hati janganlah tunjukkan melalui cara yang kurang ajar dengan menimbulkan kekecohan.
''Tunggu sahaja pilihan raya umum akan datang jika benar-benar ingin merampas semula kuasa," katanya.
Mohd. Sidek Abdul Salam, 50, berkata, perbuatan ADUN pembangkang bukan sahaja memalukan tetapi turut dilihat tidak menghormati institusi raja.
''Sidang DUN hari ini dirasmikan oleh Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah dan baginda berada di kawasan dewan semasa kekecohan berlaku.
''Baginda terpaksa menunggu lama sebelum boleh menyampaikan titah ucapan perasmian gara-gara kekecohan pembangkang.
''Kejadian ini jelas menunjukkan pembangkang tiada langsung mempunyai perasaan hormat terhadap baginda," katanya.
Seorang pemuzik, Brian Dourado, 38, pula berkata, kekecohan yang berlaku semasa sidang DUN ini hanya merugikan rakyat Perak.
Katanya, akibat sibuk berebut kuasa dan berpolitik, para ADUN yang sepatutnya bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri ini lupa terhadap tanggungjawab masing-masing.
''Kesibukan berpolitik menyebabkan mereka tiada masa membantu rakyat dan membangunkan negeri ini, malah pelabur juga tidak berkeyakinan membuat pelaburan apabila melihat pergolakan yang berlaku," katanya.
Nor Diana Wan Chik, 24, berkata, pembangkang boleh menggunakan saluran lain jika ingin menyatakan rasa tidak puas hati, bukannya dengan cara berlagak samseng dan menimbulkan kekecohan.
''Sikap tidak profesional pembangkang menggunakan kekerasan untuk mendapatkan semula kuasa hanya menjejaskan imej mereka sendiri.
''Malah, pihak polis yang menjalankan tugas menjaga keamanan turut tercalar imejnya kerana dituduh menyalahgunakan kuasa apabila menahan pemimpin politik pembangkang dan perusuh," katanya.

No comments: